Monday, July 11, 2011

Mengapa R. Kalimuthoo Wajar Dibantu?


Dia kelihatan terlalu uzur, tangan kirinya menggeletar tanpa henti dan dia mengadu kakinya tidak mampu untuk digerakkan secara sempurna berbanding sebelum ini.

"Dia unik bang, Malaysia sudah ada 6 Perdana Menteri, dia masih ada lagi," ujar menantunya, Sundram..

Pantas saya merakamkan wajah lelaki itu.


Kini dia berusia 86 tahun dan untuk rekod, dia bukan bekas artis tersohor atau ahli perniagaan berjaya.

Namanya R. Kalimuthoo, dilahirkan di Estet Paya Rumput, Alor Gajah, Melaka pada tahun 1925.

"Tarikh lahir uncle bila?," soal saya sewaktu duduk di sebelahnya.

Agak lama dia berfikir dan kemudian tersenyum.

"Sudah tualah, tak ingat," ujarnya.


Setiap kali saya mengajukan soalan kepada ayah 16 anak itu, jawaban dilontarkannya kerap tersasar.


Warga emas itu kini tinggal bersama anaknya di Pangsapuri Seri Jinjang, Jinjang Selatan, Kuala Lumpur. Beberapa kali ahli keluarganya berbahasa Tamil cuba memberikan panduan untuk dia menjawab pelbagai soalan saya lontarkan.

Saya kemudian memegang bahu Sundram dan berkata ...

"Tak apa, dia sudah tua, bukan semua dia ingat. Kita pun bila tua nanti, macam itu juga"


"Take the bag for me please," katanya berulang kali kepada ahli keluarga.

Untuk rekod, Kalimuthoo amat fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Setelah beg dipinta dikeluarkan dari bilik berhampiran, pantas kru saya mengeluarkan kandungan beg terbabit.

Selain jurukamera, Ahmad Fadillah Abd Aziz, liputan dibantu Shaikh Ahmad Fauzi Shaikh Said dan wartawan pelatih Mohd Izzul Iswat Mohd Azman (kiri).


"Beg itu is just like full of jewelleries to him, so precious," jelas menantunya. .

Saya faham, pada usia hampir satu abad, dia kini dimamah zaman. Tubuhnya lemah, telinganya kurang mendengar manakala matanya semakin kabur, tidak seperti sewaktu gambar di bawah dirakamkan di rumah di Jalan Ayer Rajah, Pulau Pinang.


"Dulu masa saya kerja (sebelum tahun 1957), gaji 60 ringgit satu bulan tetapi masa itu 60 ringgit sudah banyak," katanya tenang.

Dia bersara sebagai kakitangan kerajaan pada tahun 1990.


Kini Kalimuthoo uzur dan ternyata tidak hidup senang, jauh sekali mewah, dia sekadar menumpang belas di rumah anak sulungnya, Bala. Namun di sepanjang temubual, tidak sekalipun dia menyuarakan kisah kesukaran dan keperitan hidup dilaluinya sebagai pesara.

"Sekarang saya dapat pencen RM480 sahaja," katanya.

Saya difahamkan, Kalimuthoo tidak makan nasi, dia gemar menjamah hidangan roti dan keju, hidangan kegemaran bekas majikan, 21 tahun telah pergi meninggalkannya.

Siapa Kalimuthoo?

Untuk mengetahui identitinya, bersama kita teliti antara kandungan beg, khazanah amat berharga buat dirinya.

Sila klik imej di bawah, imej dirakamkan oleh Mohd Izzul Aswat.


"Saya mula mula jadi pemandu official Tunku masa umur 18 tahun, gaji RM400, tahun 1943 dan bersara selepas Tunku meninggal dunia, tahun 1990. Tunku orang baik, dia memang tolong semua bangsa, Melayu, Cina dan India. Kemana Tunku pergi, saya mesti bawa dia dan jaga dia. Sebelum saya dapat lesen Revolver, Tunku bagi saya pegang senjata, bila dia keluar dari kereta. Saya cakap, Tunku, saya tak ada lesen, dia cakap, tak apa, saya ada," jelasnya.


Kalimuthoo kemudian diberikan lesen memiliki senjata api pada tahun 1970 untuk menjaga keselamatan Tunku secara rasmi.


Tidak terpancul dari mulutnya untuk menuntut anugerah 'Datuk', jauh sekali 'Tan Sri' tetapi tidakkah wajar sewaktu dia menghabiskan sisa hidupnya, Kalimuthoo dibantu?

Dengan pencen RM480 diterima sebulan, mampukah dia dirawat secara sempurna dan hidup lebih selesa?


Sebelum ini Kalimuthoo menyewa rumah di Kulim, Kedah dan pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki rumah sendiri.


Terfikir, jika Perdana Menteri Malaysia pertama mengakui ketaatan Kalimuthoo sebagai pemandunya selama 47 tahun, tidakkah kerajaan terkini terbuka hati untuk menunaikan permintaan Kalimuthoo?

Barangkali itu permintaan terakhirnya sebelum dia menutup mata sekaligus membawa bersama sejarah kemerdekaan negara sentiasa abadi di dalam jiwanya.


Jam 6.30 petang tadi, jiwa saya terusik syahdu, ketika mendengar Kalimuthoo melaungkan 'merdeka!' dengan bersemangat sebanyak 3 kali. Perkataan keramat pernah dilaungkan majikannya, Tunku Abdul Rahman, 54 tahun lalu di Stadium Merdeka.


Sila sebarkan tampalan ini, semoga ada pihak membuka mata sekaligus menunaikan permintaan Kalimuthoo.

Credit to Bersama Marzidul blog

No comments: